Assalamualaikum,Ahlan Wasahlan...

Marilah kita mencapai kejayaan!

Ahad, 22 Ogos 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!!!

Assalamualaikum.Setelah hampir dua minggu berpuasa, barulah saya dapat meng"update" blog kesayangan saya ini.Seperti blogger-blogger yang lain, saya juga mengucapkan selamat berpuasa kepada semua (tak terlambat kan?)Okey....pada kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit tentang bulan yang mulia ini...

"Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman!Kamu diwajibkan berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"
(Al-Baqarah: 183)

Puasa daripada perkataan Arab asalnya bererti menahan diri daripada sesuatu.Dari segi Syarak, puasa diertikan sebagai menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, dengan syarat-syarat yang tertentu, disertai dengan niat. Dan di atas adalah dalil bagi kewajipan berpuasa.

Puasa sudah menjadi amalan nabi-nabi serta umat-umat terdahulu.Justeru, umat Islam disyariatkan berpuasa oleh Allah s.w.t sebulan di dalam bulan Ramadhan yang mengandungi banyak kemuliaan, bulan di mana Al-Quran diturunkan, sebagaimana difirmankan Allah s.w.t:

"Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

(Al-Baqarah: 185)

Ibadah puasa adalah ibadah yang dapat membina sifat takwa kepada Allah s.w.t.Ciri-ciri sifat takwa dapat disuburkan melalui latihan menghalang kehendak-kehendak nafsu sebagai mendidik diri memiliki peribadi mukmin yang sedar akan dirinya membawa amanah Allah - sebagai Khalifah yang patuh kepada perintah dan laranganNya, serta hamba yang taat beribadah kepada-Nya.

Pada bulan Ramadhan terdapat banyak kelebihan.Kelebihan bulan Ramadhan ialah difardhukan ibadah puasa di dalamnya dan dilipatgandakan pahala amalan yang dilakukan dalam bulan ini.Setiap detik di dalam bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini.Seperti sabda Rasulullah S.A.W:

"Maksudnya: Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh , hingga 700 kali ganda.Allah berfirman (dalam hadis Qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya.Dia meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku.Bagi orang-orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan TuhanNya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi disisi Allah."

(HR: Muslim dari Abu Hurairah)

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala), maka diampunkan dosa-dosa yang lepas."

(HR: Bukhari dan Muslim)

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani.Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya.

Antara kelebihan bulan Ramadhan yang lain ialah membaca Al-Quran dan Qiyamullail.Bagi seorang mukmin apabila berada dalam bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya.Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail.Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.Sabda Rasulullah S.A.W:

"Maksudnya: Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas".

(HR: Bukhari dan Muslim)

Qiyamulail adalah kebiasaan Nabi S.A.W dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka.Aisyah pernah berkata:

"Jangan kamu tinggalkan Qiyamullail.Rasulullah S.A.W tidak pernah meninggalkannnya, dan apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda akan solat sambil duduk."

(HR: Abu Daud)

Khalifah Umar Al-Khattab R.A akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata: "Solah, solah!" (bangun untuk bersolat).


Selain itu, kita juga boleh bersedekah seperti memberi makan dan memberi makan (berbuka) org yang berpuasa.

Seterusnya ialah I'tikaf.I'tikaf ialah menetap dantinggal di masjid dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.Amalan I'tikaf menjadi amalan Nabi S.A.W pada setiap bulan Ramadhan.Baginda S.A.W melazimi berI'tikaf di masjid selama 10 hari pada bulan Ramadhan, dan pada tahun wafatnya, baginda BerI'tikaf selama 20 hari.I;tikaf ini lebih utama dilakukan pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Hikmah berI'tikaf ialah mengharap kepada Tuhan semoga memberi keampunan dan rahmat, juga untuk mencari ketenangan atau ketenteraman jiwa.

Akhirnya, ialah Malam Lailatul Qadar.Di dalam Ramadhan yang berkat ini Allah S.W.T menghadiahkan kepada hamba-hambanya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar jatuh pada pada salah satu daripada malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir Ramadhan.Rasulullah S.A.W amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari terakhir bulan ini dengan menggandakan amalan ibadahnya dan menggerakkan isterinya bangun beribadah bersama-sama.

Ini sahaja sedikit sebanyak kelebihan bulan Ramadhan yang saya dapatkan kongsikan kepada semua.Walaupun gaya tulisan saya seperti tulisan di dalam buku teks sekolah,tetapi diharap dapatlah ia memberi manfaat kepada kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan