Assalamualaikum Warahmatullah hi Wabarakatuh dan salam sejahtera! Di kesempatan ini, sempena Aidilfitri ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri!
Taqabballahu minna wa minkum. Wa ja'alana minal 'aidin wal faizin. Ucapan itu ditujukan kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, serta sesiapa yang mengenali diri ini. Semoga Aidilfitri kali ini lebih meriah di samping keluarga.
Kali ini saya ingin menunjukkan sunat-sunat di Aidilfitri.Disebabkan Saya tak sempat nak tulis dan tak nak menulis, Saya copy dan paste sahaja. Enjoy!
1. Bertakbir
Ini merupakan amalan yang disyariatkan oleh agama Allah ini. Amalan bertakbir ini sunat dilakukan pada subuh syawal. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir dengan cara di atas ini adalah bertujuan untuk menunjukkan syiar-syiar Islam kepada penduduk setempat.
2. Mengucapkan Taqabbalallahu Minna Wa Minka
Kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia akan mengucapkan ‘selamat hari raya, maaf zahir & batin’ kepada kenalan, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Walaubagaimanapun, apa yang tepat dengan amalan sunnah al-Salaf al-Saleh ialah mengucapkan ‘Taqabbalallahu Minna Wa Minka’.
Diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan
3. Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan. (ust. Mohd Yaakub Bin mohd Yunus)
4. Mandi Di pagi 1 Syawal
Mandi ini disunatkan dilakukan di pagi aidil fitri sebelum menuju ke tempat Solat Sunat Aidil Fitri diadakan. Perkara ini pernah ditanyakan kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a sama ada perlu untuk mandi setiap hari? Jawapannya ialah:
"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
5. Menjamah Makanan Sebelum Solat Aidil Fitri
Amalan ini adalah sunnah dan ia dilakukan oleh Rasulullah untuk memperlihatkan ramadhan sudah berakhir dan bermulanya syawal yang dilarang berpuasa pada hari tersebut. Menurut al-Muhallab r.h:
"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
6. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya
Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya.Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)
Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.
7. Melaungkan takbir pada hari raya
Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di temapt solat hari raya.
( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami’ )
8. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya
Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )
9.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin
Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Al-Albani telah berkata telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )
Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amalan sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan